Latest News

SANGGAHAN ORIENTALIS DAN JAWAPAN ULAMA'

Monday, May 3, 2010 , Posted by luqman al-jawa at 5:40 AM

bunga Pictures, Images and Photos
Definisi Orientalis


Orientalis berasal dari perkataan orient yang bererti timur dan orientalis pula biasanya dirujukkan kepada orang-orang barat yang mengkaji ilmu-ilmu ketimuran seperti bahasa, sastera, tamadun dan agama. Tetapi bagi dunia Islam, apabila disebut orientalis atau orientalisme ia merujuk kepada orang barat yang mengkaji tentang tamadun dan selok belok agama Islam termasuk al-Qur’an, al-Hadith, sejarah, bahasa dan lain-lain.


Orientalis dan Islam

Meskipun istilah ‘orientalis’ dari segi formalnya baru digunakan pada abad ke 18 tetapi ia mempunyai pertalian dengan latar belakang psiko-historis dari peringkat awal kelahiran Islam yang berdepan dengan golongan agamawan Yahudi-Kristian. Pertengahan umat Kristian dan juga Yahudi dapat dilihat dari dendam kesumat dan konflik dari mereka seperti gambaran negatif mereka terhadap Islam. Peperangan menguasai Sepanyol dan beberapa siri peperangan salib adalah rentetan dari dendam kesumat mereka terhadap Islam.


Di mana serangan yang dilakukan oleh tentera salibiyyin ke atas negara-negara Islam adalah disebabkan factor utama, iaitu faktor agama dan taksub [m/s 75] membuta tuli serta factor politik. Pada anggapan mereka bumi ini hanya layak didiami oleh orang Kristian sahaja. Berikutan itu proses pembersihan bumi ini dari didiami oleh orang-orang Islam perlu dilakukan. Selain dari itu serangan mereka juga didorong oleh factor politik dan penjajahan. Di mana kekayaan hasil bumi, kemajuan dan ketenangan yang dimiliki oleh negara-negara Islam pada masa itu khususnya negara Syam dan sekitarnya sedikit sebanyak mendorong mereka untuk menjajah negara-negara tersebut. Kegiatan penjajahan ini dipelopori oleh British dan Perancis dan diikuti oleh kuasa penjajah yang lain seperti German, Amerika dan lain-lain. Tetapi kehandak Allah (s.w.t.) mengatasi segalanya, di mana setelah peperangan salib yang berterusan selama dua ratus tahun berakhir dengan kekalahan dan kekecewaan kepada tentera salibiyyin.


Berikutan dari kekalahan dan kekecewaan tersebut, mereka mula mengalihkan pandangan mereka daripada serangan senjata kepada serangan mental dan fikiran. Dari sinilah mereka mula mengkaji tentang Islam dari pelbagai aspek termasuk aqidah, tafsir hadith, sastera dan lain-lain yang berkaitan dengan agama sebagai persiapan terhadap serangan mental dan fikiran umat Islam. Dapatlah dikatakan motif kajian terhadap bidang-bidang keislaman yang bersifat negative adalah pencetus ke arah melahirkan orientalisme khususnya di Inggeris (1779), Perancis (1799), dan di negeri-negeri lain. Dalam kata lain serangan orientalis adalah merupakan lanjutan dari konfrantasi antara Kristian da Yahudi dengan Islam yang pada awalnya lebih bersifat ‘un-realistic militant’ kea rah yang bersifat penyusupan di dalam kegiatan intelektual dan persuratan.



Orientalis dan al-Hadith

Kecenderungan awal di kalangan orientalis ialah berusaha membuktikan al-Qur’an bukannya wahyu Allah (s.w.t.), sebaliknya ia adalah ciptaan Nabi Muhammad (s.a.w.) sendiri. Namun usaha mereka tidak berjaya, kerana kesahihan al-Qur’an disokong oleh fakta sejarah konkrit, lagipun ia dijamin sendiri oleh Allah (s.w.t.) untuk memeliharanya dari segala penyelewengan dan penipuan. Selepas usaha mereka bagi menimbulkan keraguan terhadap al-Qur’an sebagai sumber yang utama dan pertama gagal, mereka beralih pula kepada sumber yang kedua, iaitu al-Hadith. Mereka berusaha membuktikan bahawa al-Hadith adalah rekaan umat Islam yang terkemudian dan tidak ada hubungkait dengan Nabi Muhammad (s.a.w.).



Golongan orientalis barat berminat di dalam pengkajian al-Hadith dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya sejak lebih kurang dua ratus tahun yang lampau. Mereka membuat pengkajian kritis, membuat suntingan (tahqiq) dan menerbit banyak karya berbahasa Arab di bidang pengajian al-Hadith. Mereka juga telah menterjemahkan beberapa karya al-Hadith dan ilmu-ilmu yang berhubung dengannya ke dalam bahasa latin serta menulis buku-buku ilmiah dan makalah-makalah kritis tentang masalah asa berhubung dengan disiplin pengajian al-Hadith. Pengkajian tentang asal dan perkembangan al-Hadith secara komprehensif dan kritis juga dilakukan dan diterbitkan oleh sarjana-sarjana barat dengan tujuan yang sama, iaitu untuk menimbulkan keraguan kepada umat Islam tentang autoriti al-Hadith sebagai sumber kedua kepada syariat Islam.



Di antara orientalis barat yang membuat kajian terhadap al-Hadith ialah A. Sprenger, J. Horovitiz, A. Guillaume, W. Muir, S. Mackensen Ruth, R. A. Nicholson, Nabia Abbott dan T. W. Juynboll. Mereka telah menimbulkan beberapamasalah pokok dalam pengajian al-Hadith dan perkembangannya. A. Sprenger di anggap sebagai pelopor dalam usaha ini dan diikuti oleh William Muir. Akhirnya lahirlah I. Goldziher yang dianggap sebagai seorang tokoh orientalis yang paling terkemuka dalam bidang kajian al-Hadith serta paling merbahaya. Ini kerana beliau bukan sahaja pakar dalam bidang al-Hadith, tetapi juga mahir dalam bahasa Arab sehinggakan beliau digelar sebagai bapak orientalis di zamannya. Beliau telah mengarang banyak buku dan menulis beberapa artikel yang membicarakan tentang pegumpulan, sejarah, dan perkembangan formal al-Hadith. Karya utama beliau dalam pengajian ini, ialah ‘Muhammadanische Studien’. Tulisan-tulisan dan buku-buku beliau masih lagi menjadi rujukan utama kepada orientalis moden. Malah terdapat juga beberapa tokoh dan sarjana Islam yang terpengaruh dengan pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh beliau. Antaranya ialah Ahmad Amin melalui bukunya ‘Fajr al-Islam’ dan Abu Rayyah melalui bukunya ‘Adwa‘ ‘ala al-Sunnah al-Muhammadiyyah’ dan lain-lain.



Antara pandangan dan rumusan yang dibuat oleh Goldziher terhadap al-Hadith ialah beliau menganggap bahawa sebahagian besar al-Hadith adalah lahir dari perkembangan semasa dalam agama Islam sama ada dari segi agama, sejarah dan social pada abad pertama dan kedua hijrah. Ini bererti kebanyakkan al-Hadith bukannya sahih datang daripada Rasulullah (s.a.w.), sebaliknya ia merupakan ciptaan umat Islam di zaman kecemerlangannya. Oleh itu, al-Hadith pada pandagan beliau tidak boleh dijadikan sebagai sumber penting dalam agama Islam. Tetapi hanya sebagai bahan penting kepada keterangan-keterangan sejarah perkembanganpelbagai aspek kebudayaan Islam zaman kemudian di bawah pengaruh bukan Islam.



Bagi menyokong pendapat tersebut, beliau cuba mengelirukan umat islam berhubung dengan sejarah penulisanj al-Hadith yang merupakan perkara utama yang dibincangkan oleh orientalis. Di mana Goldziher telah mengemukan sekumpulan al-Hadith yang menyatakan telah wujud beberapa sahifah yang dicatat pada zaman Rasulullah s.a.w, tetapi beliau meragui kenyataan itu datangnya dari generasi pertama umat Islam. Bagi beliau kemunculan riwayat tersebut merupakan ciptaan umat Islam terkemudian dalam usaha mereka membuktikan bahawa al-Hadith telah ditulis oleh generasi pertama umat Islam. Namun beliau tidak dapat menyokong pendapatnya secara konklusif.



A. Sprenger pula berpendapat bahawa al-Hadith disampaikan melalaui lisan selama lebih satu abad dan hanya ditulis di sekitar abad kedua Hijrah dan bukan pada zaman Rsulullah s.a.w sementara A. Guillaume membuat konklusi bahawa al-Hadith mesti dianggap sebagai satu rekaan. Pendapat ini disokong oleh Ruth. Sementara J. Schacht pula mendakwa al-Hadith berhubung dengan undang-undang direka dan hanya dianggap sahih mulai pertengahan abad kedua hijrah dan selepasmya sahaja. Beliau juga tetap menolak kenyataan tentang al-Hadith yang diusahakan pengumpulanya oleh Khalifah Abd al-Aziz (994 H-101 H.), kerana pada anggapan beliau semua al-Hadith sebagai rekaan selepas kewafatan ‘ Umar Abd al-‘ Aziz.



Orientalis juga menolak kenyataan yang mengatakan Khalifah Umar Abd al- Aziz adalah orang yang pertama meminta Abu Bakr Ibn Hazm (m. 117 H.), Ibn Shihab al-Zuhri (m. 124 H.)dan lain-lain supaya mengumpul dan menyusun al-Hadith. Oleh itu bagi kebanyakan orientalis, pengumpulan al-Hadith telah ditulis sebaik sahaja Rasulullah s.a.w wafat. Pendapat ini dikemukakan oleh Sezgin dan Nabia Abbott, namun mereka berdua tetap menolak al-Hadith ditulis semasa Rasullullah s.a.w masih hidup. Sebenarnya penolakan orientalis terhadap penulisan al-Hadith di awal Islam berpunca dari anggapan mereka bahawa kebanyakan al-Hadith adalah rekaan umat Islam yang terkemudian.



Jawapan Ulama’ Islam kepada pandangan Orientalis Terhadap Al-Hadith

Pandangan-pandangan yang diutarakan oleh orientalis, baik mengenai penulisan Al-Hadith maupun mengenai isnadnya dan sekaligus terhadap Al-Hadith telah ditolak oleh beberapa ulama’ Islam. Antarany ialah Shaikh Mustafa al-Siba’ie melalui kitabnya ‘Al-Sunnah Wa Makanatuhu’, Mustafa A’zami melalui kitabnya ‘Dirasat Fi Al-Ahadith al-Nabawiyyah’, Muhammad ‘ajjah al-Khatib menerusi kitabnya ‘ al-Sunnah Qabla al-Tadwin dan Muhammad Abu Syahbah menerusi kitabnya ‘difa’ An Al-Sunnah ‘. Menerusi kajian-kajian dan penyelidikan ilmiah yang dilakukan, mereka dapat menolak segala keraguan yang cuba ditimbulkan oleh orientalis terhadap al-Hadith khususnya mengenai penulisan al-Hadith di awal Islam. Mereka telah mengemukakan bukti-bukti bahawa al-Hadith telah pun dicatat sebahagian besarnya semasa Rasullullah s.a.w masih hidup.



Walaupun pada peringkat awalnya Rasulullah s.a.w melarang para sahabat daripada menulis al-Hadith semasa hayat baginda kerana ditakuti bercampuraduk dengan al-Quran. Ini ditambah pula bilangan sahabat yang pandai menulis al-Hadith pada masa hayat baginda dengan mendapat keizinan khusus darinya. Di antara sahabat yang menulis semasa hayat baginda , ialah Abdullah Ibn Amru Ibn al-As’ (m. 65 H), Jabir Ibn Abdullah(m. 78 H.), Samurah Ibnu Jundub (m. 60 H.), dan Sa’ad Ibn Ubadah (m. 15 H.). Rasullullah s.a.w mengizinkan Abdullah Ibn ‘Amru al-‘As menulis al-Hadith, kerana beliau seorang penulis yang baik.



Begitu juga dengan beberapa sahabat yang lain yang turut sama dalam menyumbang dalam penulisan al-Hadith di zaman Rasulullah s.a.w seperti Sahifah Jabir Ibn Abdullah al-‘Ansari yang diriwayatkan oleh Qatadah Ibn Di’amah seorang tabi’in. Selain itu terdapat banyak lagi hadith-hadith yang ditulis pada masa hayat Rasulullah s.a.w oleh para sahabat, tetapi tidak sampai kepada kita. Ini di sebabkan sebahagianya dibakar oleh sahabat dan juga tabi’in kerana ditakuti ia terjatuh kepada yang bukan ahlinya.



Di samping hadith-hadith yang ditulis khusus oleh Rasulullah oleh sahabat, terdapat juga hadith-hadith yang ditulis secara tidak langsung melalui surat-surat perjanjian, surat dakwah dan surat-surat mengenai cukai seperti surat yang dihantar kepada Raja Habsyah dan surat-surat yang dihantar oleh Rasulullah kepada raja-raja bukan Islam yang menyeru mereka memeluk Islam. Kesimpulanya semasa Rasulullah s.a.w masih hidup terdapat hadith-hadith yang ditulis oleh para sahabat, Cuma tidak secara rasmi, tetapi lebih bersifat individu.



Selepas Rasulullah s.a.w wafat, iaitu pada zaman sahabat penulisan al-Hadith secara individu jauh lebih bnayak dari zaman Rasulullah s.a.w. Antara sahabat dan tabi’in yang menulis al-Hadith pada zaman ini, ialah Abu Bakar al-Siddiq (m. 13 H.), ‘Umar al-Khatab (m. 23 H.), Mu’adh Ibn Jabal (m.51 H.), Amr Ibn Hazm (m. 50 H.), al-Mughirah Ibn Syu’bah (m. 51 H.), Hammam Ibn Munabbih (m.131 H.). Hammam Ibn Munabbih adalah seorang tabi’in yang banyak menerima dan menulis al-Hadith daripada Abu Hurairah r.a Hasil tulisannya kumpul dalam satu sahifah yang terkenal dengan nama Sahifah Sahihah bagi Hamman Ibn Munabbih. Sahifah ini telah ditulis pada zaman sahabat dan ia telah sampai kepada kita dengan sempurna sebagaimana yang diriwayatkan oleh Hammam daripada Abu Hurairah dan ia telah didapati oleh Doktor Muhammad Hamidullah dalam bentuk manuskrip di Dimasyq dan juga Berlin. Malah kandunganya mempunyai beberapa persamaan dengan kandungan yang terdapat dalam musnad Ahmad Ibn Hanbal dan Sahih al-Bukhari. Kewujudan sahifah ini sebagai bukti yang jelas bahawa penulisan al-Hadith telah bermula pada abad pertama Hijrah lagi.



Proses penulisan al-hadith secara individu ini berterusan sehinggalah sampai ke zaman pemerintahan Khalifah ‘Umar ‘Abd al-Aziz (99 H. -101 H. ). Di mana penulisan dan pengumpulan al-Hadith secara rasmi bermula dengan arahan dan pemintaan yang dikeluarkan oleh beliau kepada gabenor-gabenor. Antara ulama’ yang menyahut seruan, ialah Abu Bakar Ibn Hazm (m 117 H.) dan Ibn al-Zuhri (m. 124 H. ).



Dari kenyataan di atas dengan sendirinya menolak dakwaan Goldziher yang menyatakan bahawa kebanyakan al-Hadith adalah hasil draipada perkembangan islam semasa dan bukannya dari Rasulullah s.a.w dan kenyataan tersebut adalah tidak benar sama sekali. Ini ditambah pula dengan ketelitian dan kecermatan umat islam menerima sesebuah al-Hadith. Bukan mereka sahaja menyelidik setiap al-Hadith yang diriwayat oleh sesama mereka, malah mereka juga sentiasa menyelidik tentang pendusta dan pencipta Hadith-Hadith palsu. Justeru itu mereka dapat membezakan antara Hadith sahih dan palsu. Ketelitian dan kecermatan ini di ikuti oleh generasi selepas sahabat, iaitu tabi’in dan atba’ tabi’in. Kesungguhan mereka ini terbuti melalui beberapa kaedah dan metod serta ilmu-ilmu yang dicipta yang bukan sahaja bagi mengenal pasti Hadith-Hadith sahih dan palsu, tetapi juga bagi mengenal pasti perawi-perawi yang boleh diterima riwayatnya dan sebaliknya. Antara ilmu tersebut, iailah ilmu al-Jarah wa ta’ dil’ ilmu Rijal al-Hadith, ilmu ‘ilal al-hadith dan lain-lain. Di mana ilmu ini yang merupakan komponen kepada ilmu- ilmu al-Hadith telah menjadi satu disiplin pengajian ilmu yang lengkap dan sistematik.



Apabila sesebuah al-Hadith oleh perawi, sudah tentulah agak sukar sekali untuk membuat andaian bahawa berlakunya perbohongan dan penipuan. Ini kerana perbezaan mazhab dan fahaman yang dianuti serta kedudukan mereka yang berjauhan agak sukar bagi mereka untuk mengadakan satu pakatan pembohongan dan penipuan terhadap sesebuah al-Hadith. Jikalau pun ada amalan biasa mencipta isnad bagi memalsukan al-Hadith, ia adalah mustahil kerana ahli-ahli al-hadith sentiasa membuat pemeriksaan dan pembandingan segala perbezaan yang terdapat. Dalam pemeriksaan tersebut isnad palsu sentiasa ditemui dan tidak mungkin tetinggal tanpa diperiksa dan diselidiki. Walaupun begitu tidaklah dinafikan bahawa setiap penyalin al-Hadith itu tidak pernah membuat kesilapan yang perlu dibuat pemeriksaan teliti bagi memperbetulkanya. Faktor ini juga menolak dakwaan J. Schacht yang mengatakan isnad telah ditiru oleh perawi-perawi lain. Ini kerana perawi-perawi ini berasal dari tempat yang berjauhan dan berbeza kebudayaan, fahaman dan mazhab di antara mereka dan pertemuan di antara mereka adalah amat-amat sukar sekali.



Sementara dakwaan orientalis terhadap tumpuan kritikan ahli al-Hadith terhadap isnad tanpa teks al-Hadith adalah tidak benar sama sekali, kerana jika diteliti terhadap ulasan dan huraian mereka terhadap tekas al-hadith ternyata mereka juga tidak ketinggalan bercakap dan mengkritik teks al-Hadith sekalipun tidak sehebat kritikan mereka terhadap isnad al-hadith. Ini kerana kritikan terhadap isnad al-hadith kebiasaannya dilakukan oleh al-Hadith yang mempunyai autoriti dalam hal tersebut. Sementara kritikan terhadap tekas al-Hadith biasanya dilakukan oleh ahli fiqh.



Kesimpulan

Dari perbincangan di atas dapat dibuat kesimpulan bahawa orientalis-orientalis barat telah lama beruasaha dan membuat kajian terhadap al-Hadith dengan tujuan menimbul keraguan kepada umat Islam terhadap autoriti al-Hadith sebagai salah satu sumber asas kepada syariat Islam. Usaha-usaha tersebut telah dibuat dengan pelbagai cara dan metod untuk menyarankan bahawa al-Hadith adalah perkara terkemudian yang direka oleh generasi Islam yang menyusul pada akhir abad pertama, kedua dan ketiga hijrah dan tiada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w tetapi ternyata segala keraguan yang ditimbulkan terhadap autoriti al-Hadith sebagai sumber syariat adalah tidak berasas sama sekali. Perkara ini jelas dengan bukti-bukti yang ditemui dan kemukakan oleh ulama’ Islam yang menggambarkan bahawa kriteria dan nilaitara periwayatan al-Hadith dan isnad serta perawinya adalah benar selain dari yang ditolak oleh al-hadith yang terkawal. Dengan ini jelaslah bahawa al-hadith tetap utuh autoritinya sekalipun cuba dipertikaikan oleh musuh-musuh Islam.

Currently have 2 comments:

Leave a Reply

Post a Comment

KLIK UNTUK BERSEDEQAH