Latest News

MANDI WAJIB DALAM PESAWAT???

Thursday, December 24, 2009 , Posted by luqman al-jawa at 6:56 AM

AEROPLANE Pictures, Images and Photos

Apabila seseorang itu tidur dalam penerbangannya lalu dalam tidurnya itu dia bermimpi sehingga menyebabkan perlunya kepada Mandi Wajib, maka bagaimanakah seharusnya dia melakukan Mandi Wajib tersebut agar dapat kembali menunaikan solat-solat fardhunya? Demikian juga kes seumpama bagi seorang wanita yang sedang haid, lalu di awal waktu penerbangan disedari bahawa haidnya telah berhenti, maka bagaimanakah seharusnya dia melakukan Mandi Wajib agar dapat memulakan semula perlaksanaan solat-solatnya?

Maka dalam dua kes istimewa ini, adakah seseorang itu perlu memaksa dirinya Mandi Wajib dalam bilik air pesawat terbang atau menundakan sahaja solatnya sehingga tiba ke destinasi atau adakah apa-apa alternatif lain? Sebenarnya suasana yang dibicarakan di atas ini mempunyai kesamaan yang amat hampir dengan kes kejadian yang pernah berlaku di zaman Nabi sallallahu-alaihi-wasallam. Berikut disalin tiga kisah yang boleh membantu kita mencari penyelesaian bagi persoalan ini.

[01] Abdul Rahman bin Azba radiallahu-anhu berkata, telah datang seseorang kepada Umar al-Khattab radiallahu-anhu lalu bertanya: Aku telah berhadas besar tetapi tidak mempunyai air (untuk Mandi Wajib). Sedang duduk bersama ketika itu ialah Ammar bin Yasir radiallahu-anhu lalu beliau berkata kepada Umar: Ingatkah kamu bahawa pernah sekali kita berdua berada dalam keadaan hadas besar ketika dalam satu perjalanan lalu kamu tidak bersolat sedangkan aku pula menggolek-golekkan badan di atas pasir lalu bersolat?

Ammar kemudian menyambung: Setelah itu aku memberi tahu kepada Nabi sallallahu-alaihi-wasallam akan apa yang telah berlaku lalu beliau bersabda: Adalah memadai jikalau kamu melakukan sebegini……Beliau kemudian menepuk kedua (telapak) tangannya di atas tanah, kemudian meniupnya, kemudian menyapunya di atas muka serta kedua-dua tangan. (yakni bertayamum-P) [1]

[02] 'Amr bin Ash radiallahu-anhu menceritakan, Aku pernah bermimpi basah pada satu malam yang dingin ketika ekspedisi Dzatul Salasi. Jikalau aku mandi, maka aku risau akan binasa (mati kerana terlalu sejuk). Oleh itu aku bertayamum sahaja dan kemudian mengerjakan solat Subuh bersama rakan-rakanku. Setelah itu (kembali ke Madinah) mereka menceritakan kepada Nabi sallallahu-alaihi-wasallam kes yang telah menimpa aku tempoh hari lalu beliau bersabda: Wahai 'Amr ! Apakah kamu mengerjakan solat bersama para sahabatmu dalam keadaan hadas besar?

Lalu aku menyampaikan kepada beliau alasan yang membuatkan aku tidak mandi dan aku katakan: Saya ketahui bahawa Allah ada berfirman: Dan janganlah kamu bunuh diri. Sesungguhnya Allah Maha Menyayangi kamu. Mendengar itu Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tersenyum tanpa mengata apa-apa.[2]

[03] Imran bin Husain radiallahu-anhu menceritakan bahawa Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam ternampak seorang lelaki yang sedang duduk bersendirian dan tidak bersolat bersama-sama jemaah orang ramai. Lalu beliau bertanya: Wahai si fulan ! Apakah yang menghalang kamu daripada bersolat bersama orang ramai? Lelaki itu menjawab: Wahai Rasulullah ! Aku berada dalam keadaan hadas besar padahal tidak ada air. Lalu Nabi sallallahu-alaihi-wasallam bersabda: Bertayamumlah kamu dengan debu tanah suci dan itu adalah mencukupi bagi kamu.[3]

Tiga hadith di atas menunjukkan bahawa dalam suasana terpaksa seperti ketiadaan air atau kedinginan yang amat sangat, Nabi sallallahu-alaihi-wasallam telah menyuruh serta mengizinkan para sahabat yang sedang dalam keadaan hadas besar untuk bertayamum sebagai ganti terhadap Mandi Wajib. Padahal kita semua tahu bahawa tayamum hanyalah kaedah penyucian bagi hadas kecil sebagai alternatif terhadap berwudhu' dengan air. Tetapi Nabi sallallahu-alaihi-wasallam mengizinkan demikian dan ini tidak lain menunjukkan sikap kemudahan agama yang amat luas kepada umatnya dalam menghadapi kesukaran dan kesulitan yang tidak dapat dielakkan dalam suasana mereka berusaha untuk memenuhi syarat-syarat beribadat kepada Allah Subhanahu waTa'ala. Di sini sekali lagi kita dapat melihat kebenaran sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang bermaksud: Apabila aku mencegah kamu dari suatu pekerjaan maka jauhilah ia dan apabila aku menyuruh kamu dengan sesuatu suruhan maka hendaklah kamu lakukannya sedaya-upaya. [4]

Dalam tiga hadith di atas juga dapat kita fahami bahawa bertayamum dalam suasana terpaksa adalah mencukupi sebagai ganti kepada Mandi Wajib. Dalam ketiga-tiga hadith di atas Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tidak memerintahkan mereka untuk mengulangi semula solat tersebut padahal jikalau itu adalah satu kewajipan, sudah tentu beliau akan memerintahkannya serta-merta tanpa berlengah-lengah. Akan tetapi yang kita dapati adalah beliau menyuruh mereka bertayamum dan menerangkan bahawa bertayamum adalah mencukupi bagi mereka.[5]

Perbandingan antara tiga hadith di atas dengan topik asal perbincangan kita menampakkan beberapa kesamaan dan juga beberapa perbezaan. Kesamaannya ialah seseorang yang berada dalam keadaan hadas besar dan pada waktu yang sama perlu mendirikan solat, lalu dihalangi kesukaran untuk melakukan Mandi Wajib. Perbezaannya pula ialah dalam hadith di atas kesukarannya ialah ketiadaan air lalu banyak pula debu tanah untuk bertayamum manakala bagi perbincangan kita, kesukarannya ialah bukan ketiadaan air tetapi ketiadaan tempat untuk mandi dan tiada debu tanah untuk bertayamum. Walaubagaimanapun antara kesamaan dan perbezaan ini, terikat satu kefahaman bahawa solat tetap wajib didirikan. Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tidak mengizinkan para sahabat untuk menundakan solat mereka atau mengqadhanya di lain masa. Malah di dalam keseluruhan syari'at Islam, tidak terdapat apa-apa kelonggaran hukum yang membolehkan seseorang itu sengaja menundakan solatnya ke lain masa atas apa-apa alasan sekalipun kecuali dalam hal darurat, iaitu satu suasana yang membahayakan nyawa dan anggota.

Kembali kepada persoalan asal kita, bagaimanakah seharusnya seseorang itu yang berada dalam pesawat terbang yang tidak dilengkapi dengan tempat mandi melakukan Mandi Wajib bagi membersihkan dirinya dari hadas besar agar dapat kembali menunaikan solat-solat fardhunya? Sekalipun seseorang dibolehkan bertayamum sebagai ganti Mandi Wajib, di manakah pula hendak di cari debu tanah di dalam pesawat terbang? Analisa penulis bagi menjawab persoalan ini membuahkan tiga jawapan: [6]

Pertama - Tetap melakukan tayamum dengan apajua bahan debu yang ditemui seperti bedak talkum atau habuk-habuk di dinding pesawat atau di atas pakaian. Sekalipun telah dinyatakan sebelum ini bahawa tayamum hanya dibolehkan dengan debu-debu tanah, tetapi dalam suasana sulit lagi tertekan seperti ini dibolehkan seseorang itu bertayamum dengan apajua jenis debu yang ditemuinya.

Kedua - Mengambil wudhu' seperti biasa. Di antara wudhu' dan tayamum terdapat satu persamaan di dalamnya, iaitu sebagai satu bentuk pembersihan diri dari hadas kecil. Maka jikalau tayamum dibolehkan untuk membersihkan seseorang itu dari hadas besar dalam suasana terpaksa, maka bersandarkan prinsip analogi dan persamaan tujuan, wudhu' juga boleh diamalkan untuk membersihkan seseorang itu dari hadas besar dalam suasana terpaksa.

Ketiga - Terus sahaja mendirikan solat kerana sememangnya sudah diketahui bahawa dia tidak dapat Mandi Wajib dan tidak dapat bertayamum. Tidak perlu ditafsir atau ditakwil atau dianalogi nas-nas agama dalam hal ini kerana diketahui bahawa agama sememangnya sejak dari awal memberikan kemaafan kepada umat jikalau mereka tidak dapat melaksanakan perintah-perintah agama dalam suasana kesukaran yang benar-benar terjadi dan tidak dapat dielakkan. Ini adalah sebagaimana kemaafan agama bagi seseorang yang bersolat tanpa wudhu' dan tayamum sepertimana yang dibicarakan dalam bab sebelum ini.

Antara tiga kaedah di atas, seseorang itu boleh memilih cara yang diyakininya sebagai yang paling mendekati kebenaran dan kebolehan. Tidak kira yang mana satu antara tiga kaedah pembersihan diri di atas yang menjadi pilihan, satu hakikat penting tidak boleh diabaikan, iaitu solat tetap wajib didirikan. Solat yang didirikan dengan salah satu dari kaedah pembersihan diri yang dicadangkan di atas adalah mencukupi bagi diri seseorang itu. Akan tetapi jikalau dia menyakini bahawa solat tersebut perlu diqadha semula di waktu yang akan datang setelah disempurnakan Mandi Wajib, maka itu juga adalah suatu pilihan yang baik. Apabila seseorang itu mengamalkan salah satu dari tiga kaedah di atas, dia terikat kepada tiga syarat, iaitu:

1. Seseorang itu wajib memastikan bahawa dia benar-benar tidak dapat melakukan Mandi Wajib sebelum dia beralih kepada kemudahan hukum di atas.

2. Apabila seseorang yang dalam keadaan hadas besar bersolat dengan mempraktikkan salah satu dari kaedah di atas lalu kemudian dia mendapati kemudahan untuk Mandi Wajib padahal waktu solat masih hadir, maka wajib baginya untuk Mandi Wajib dan mendirikan semula solatnya yang asal itu.

3. Kemudahan hukum untuk bersolat dalam keadaan hadas besar dengan hanya bertayamum atau berwudhu' atau tanpa kedua-duanya hanyalah terhad kepada suasana kesukaran yang dihadapi ketika itu. Justeru apabila seseorang itu telah memperoleh kemudahan untuk Mandi Wajib, seperti setelah tiba ke destinasi atau ke perkampungan asal, maka dia wajib Mandi Wajib sebelum boleh meneruskan solat-solatnya yang akan datang.


Kesimpulan

1. Seseorang yang dalam keadaan hadas besar dan perlu mendirikan solat padahal dia menghadapi kesukaran untuk Mandi Wajib, maka adalah mencukupi baginya untuk bertayamum.

2. Dan jikalau seseorang itu tidak dapat bertayamum, maka penulis berpendapat bahawa adalah memadai jikalau dia [1] tetap bertayamum dengan apa jua jenis debu yang diperolehinya atau [2] berwudhu' atau [3] terus sahaja bersolat.

_____________________________________

Nota kaki:

[1] Maksud hadith dari Sahih Bukhari - no:0338.

[2] Maksud hadith dari Sunan Abu Daud - no: 0315.

[3] Maksud hadith dari Sahih Bukhari - no: 0348.

[4] Maksud hadith dari Abu Hurairah radiallahu-anhu riwayat Imam Bukhari dan Muslim, Syarh Matn al-Arba'in an-Nawawi - no: 09.

[5] Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 1/577 dan seterusnya.

[6] Ketiga-tiga pendapat ini adalah merupakan rumusan penulis (Hafiz Firdaus) hasil dari perbincangan dengan beberapa tokoh ilmuan tempatan. Sepanjang penyeledikan penulis, tidak ditemui mana-mana kitab fiqh muktabar yang ada membicarakan kaedah perlaksanaan Mandi Wajib di dalam pesawat terbang.

Currently have 0 comments:

Leave a Reply

Post a Comment

KLIK UNTUK BERSEDEQAH