Latest News

AKHIRNYA AKU TEMUI AL-GHAZALI.....

Friday, October 9, 2009 , Posted by luqman al-jawa at 9:37 PM

Photobucket
Saya terkilan kerana saya tahu dia hebat, namun saya tidak tahu di mana kehebatannya. Saya tahu kitab Ihya beliau adalah kitab tajdid di zamannya tetapi saya tidak tahu di mana keagungan kitab tersebut, saya mahu mengasihi Imam Ghazzali sedangkan saya tidak tahu di mana lubuk cintanya. Saya mahu berbaik sangka dengan al-Ghazzali terhadap kelemahan-kelemahannya tetapi saya tidak tahu apa alasannya

Dalam post kali ini sy kepilkan pendapat Saiful Islam, yang mana sy ambil dr laman web beliau, artikel pada kali ini berkisar tentang al-Ghazali, siapakah beliau dan apakah kehebatan beliau,memang sy sangat terkesan dengan penemuan beliau,

walau apa pun semoga artikel ini dapat dimanfaatkan dan dijadikan sebagai pembuka mata bagi sesiapa yang selama ini terpengaruh dengan dakyah2 yang songsang,

PENEMUAN TERBESAR MENJELANG USIAKU 30

Setelah berhempas pulas membaca, akhirnya saya menemui jawapan yang dicari selama ini. Hasil tulisan saya telah pun tersiar di dalam majalah I keluaran September 05. Saya simpulkan sedikit di sini dan artikel penuhnya akan saya muatkan di Saifulislam.Com pada pertengahan bulan ini Insya Allah.

Pada saya, Imam Ghazzali sebenarnya sama sahaja dengan Ibn Taimiyah di dalam soal Falsafah. Kedua-dua mereka mempelajari Falsafah kerana mahu menghancurkan ilmu yang telah menipu umat Islam ini. Akan tetapi Imam Ghazzali lebih berjaya kerana Ibn Taimiyah tidak pernah dianggap sebagai ahli Falsafah oleh ahli Falsafah. Oleh yang demikian, penulisan beliau yang hebat tidak dipedulikan oleh ahli Falsafah kerana beliau bukan sebahagian mereka. Namun Imam Ghazzali menggunakan pendekatan yang bijaksana. Beliau menulis sebuah buku yang telah menyerlahkan kehebatan beliau di dalam bidang Falsafah iaitu melalui kitab pertamanya di bidang ini, Maqasid al-Falasifah. Janganlah sekali-kali disangka bahawa buku ini adalah sebuah buku yang hanya sejilid. Maksud saya, buku ini adalah bahagian pertama daripada penulisan al-Ghazzali. Beliau tidak mengkritik Falsafah di dalam buku ini atas hikmah-hikmah yang besar. Kerana buku ini, ahli Falsafah mengagumi Imam Ghazzali dan menganggapnya sebagai tokoh penting dan hebat. Manakala bagi sesetengah orang, buku ini menjadi alasan untuk mengkritik Imam Ghazzali kerana beliau dianggap sebaris sahaja dengan ahli Falsafah lain lantaran buku tersebut yang menjadi rujukan Falsafah.

Akan tetapi, Imam Ghazzali menyambung tulisannya di dalam Maqasid al-Falasifah itu di dalam buku kedua beliau iaitu Tahafut al-Falasifah. Di dalam kitab inilah Imam Ghazzali menghentam habis-habisan ilmu Falsafah yang cuba mengatasi wahyu. Soal Fizik dan cabang Falsafah yang lain, Imam Ghazzali menerima bahkan menyanjungnya. Cuma Falsafah yang cuba menganalisa Tuhan dan Ketuhanan itulah yang ditentangnya. 3 kufur dan 17 bid’ah, itulah kesimpulan al-Ghazzali di dalam kitabnya itu. Akibat buku ini, Imam Ghazzali benar-benar telah membinasakan momentom kaki Falsafah di kalangan umat Islam tersebut. Malah tokoh-tokoh Falsafah sedunia bersetuju bahawa kitab Tahafut itu telah menghancur leburkan Falsafah di dalam tamadun Islam dan gagal dibangkitkan semula walaupun oleh usaha Ibn Rushd melalui bukunya Tahafut al-Tahafut, iaitu buku yang ditulis untuk mengkritik pandangan al-Ghazzali. Maka helah al-Ghazzali lebih berjaya berbanding dengan Ibn Taimiyah. Al-Ghazzali memulakan serangannya dengan meletakkan dirinya di tengah-tengah kelompok ahli Falsafah. Apabila mereka menerima dan mula menyanjung al-Ghazzali, maka barulah beliau mengeluarkan taringnya. Hanya jauhari yang kenal manikam!
Wah, gembiranya saya dengan hal ini. Saya gembira kerana saya dapat memahami al-Ghazzali. Saya gembira kerana saya yakin Imam Ghazzali bukanlah seperti yang saya faham selama ini. Malah saya tidak lagi perlu berbaik sangka sebab Imam Ghazzali memang baik, memang hebat dan sememangnya Hujjatul Islam.

Malah hati saya terus tersentuh di antara sedih dan gembira, pilu dan kagum terhadap Imam al-Ghazzali. Saya membaca kembara hidupnya dan saya amat pilu melihat Imam Ghazzali yang hebat itu masih terus mencari-cari suatu kesimpulan kepada ilmunya. Beliau telah menjadi ulama seperti yang biasa di zaman itu. Beliau juga sudah menghalusi soal pendidikan hati, beliau juga pernah terjun di medan Falsafah, namun akhirnya Imam Ghazzali menghabiskan sisa usianya dengan mendalami ilmu Hadith. Beliau berusaha gigih untuk mengatasi kelemahannya di dalam ilmu Hadith dan ini membawanya kepada menuntut ilmu Sahih al-Bukhari dan Muslim melalui Hafiz ‘Amr ibn Abi al-Hasan al-Rawasi. Jika Imam Ghazzali sendiri mengakui kelemahannya di dalam ilmu Hadith dan telah cuba mengatasinya sehingga ke akhir-akhir hayat beliau, maka saya dengan sendirinya dapat menilai bagaimana sepatutnya saya membaca kitab Ihya’ secara adil.

Kata Ibn Jawzi di dalam Ithaf as-Saadah:
“Hari itu hari Isnin. Dia (al-Ghazzali) bangkit pada waktu Subuh, berwudhu’ dan menunaikan sembahyang subuh. Kemudian dia meminta supaya dibawakan kepadanya kain kapan beliau. Sambil mengambilnya, dia mencium kain kapan itu serta meletakkannya pada mata beliau lalu berkata, “Aku tunduk kepada perintah Tuhanku”. Kemudian beliau berbaring sambil mengadapkan mukanya ke arah Qiblat dengan meregangkan kakinya. Apabila orang ramai memeriksanya, al-Ghazzali sudah meninggal dunia”.
Terhambur air mata saya di suatu subuh yang hening. Semoga al-Ghazzali ditempatkan Allah di makam yang mulia dan terpuji, bersama-sama ulama Islam yang lain, yang telah mewakafkan hidup mereka membimbing umat dan meneruskan misi Nubuwwah Rasulullah SAW.

Berhari-hari saya tersenyum sendirian kerana Tuhan telah membantu saya untuk mengenali al-Ghazzali. Ketika di usia 20, saya dapat menyelesaikan pandangan saya terhadap khalifah Islam terakhir iaitu Sultan Abdul Hamid II dan di usia 30, saya diizinkan Allah mengenali, menghargai dan menghormati Imam al-Ghazzali.
Walaupun maklumat saya tidaklah seberapa dan artikel saya di dalam Majalah I itu belumlah tentu dapat menutup mulut Astora Jabat atau benar-benar cukup untuk mempertahankan al-Ghazzali dari serangan Islam Liberal di Malaysia ini, namun sedikit sebanyak saya sudah cukup gembira mengenali al-Ghazzali. Saya benar-benar sudah dapat merasakan kehebatan al-Ghazzali dan saya mahu segera pulang ke Ipoh untuk ke pusara arwah Abah. Akan saya nyatakan di pusaranya, “Abah, Imam Ghazzali yang menulis kitab Ihya dulu, memang hebat!”

Akhirnya kutemui al-Ghazzali….

untuk artikel penuh layari:
http://saifulislam.com/?p=934

Currently have 0 comments:

Leave a Reply

Post a Comment

KLIK UNTUK BERSEDEQAH