Latest News

PENGENALAN SUNAN NASA'IYسنن النسأى

Wednesday, August 26, 2009 , Posted by luqman al-jawa at 8:06 AM

sunan nasa'e 2

SIFAT FIZIKAL KITAB

Judul kitab : Sunan al-Nasa'iy bisyarh al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti wa Hasyiah al-Imam al-Sindi
Nama pengarang : Al-Suyuti dan al-Sindi
Terbitan : Dar al-Riyan lil Tirath al-Qahirah
Bilangan kitab : 4 buah kitab
Bilangan jilid : 8 jilid
Kulit kitab : Berkulit keras dan berwarna hijau tua.
Warna tulisan kitab : Emas

PENGENALAN KITAB SUNAN AL-NASA'IY

Kitab Sunan al-Nasa'iy adalah salah satu daripada beberapa kitab hadith yang masyhur. Kitab Sunan al-Nasaiy pada mulanya dikenali sebagai Sunan al-Nasa'iy al-Kubra yang mengandungi hadith sahih, hasan dan dacif.

Pada suatu hari, melihatkan kepada kehebatan dan kefaqihan beliau dalam bidang hadith, beliau telah disuruh untuk mengumpulkan hadith sahih sahaja oleh seorang penguasa, maka beliau telah mengumpulkan hadith sahih tersebut di dalam sebuah kitab yang dikarangnya iaitu Sunan al-Sughra atau al-Mujtaba min al-Sunan. Walaubagaimanapun masih terdapat di dalam Sunan al-Sughra ini sedikit hadith dacif. Dari segi kesahihannya kitab tersebut adalah mengiringi Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, manakala berkaitan hadith yang dacif itu beliau menjelaskan tentang kedacifannya satu persatu sebab apa ia menjadi dhoif dan sebagainya. Kitab sunan ini disusun mengikut bab-bab fiqh sepertimana sunan yang lain.

1.1 Nama Sunan al-Nasa'iy

Sebagaimana yang kita ketahui, Kitab Sunan al-Nasa'iy mempunyai pelbagai nama. Menurut al-Suyuti sebagaimana yang dicatat oleh Muhammad cAbd al-Hayy al-Kanwi, antara nama-nama bagi sunan al-Nasa'iy ialah :

i. Al-Mujtaba :
Iaitu al-Mujtaba min Sunan al-Kubra. Makna al-Mujtaba ialah al-Mustafa iaitu yang terpilih. Maksudnya pilihan daripada Sunan al-Kubra.

ii. Sahih al-Nasa'iy :
Iaitu menurut khatib al-Baghdadi sebagaimana yang dicatat oleh ibnu Kathir.

iii. Al-Sunan (Sunan al-Nasa'iy) :
Inilah nama yang paling masyhur dikalangan ahli-ahli hadith.


LATAR BELAKANG IMAM AL-NASA'IY

Biodata

Nama sebenar :
Nama sebenar beliau ialah Al-Hafiz Abu cAbdul Rahman Ahmad bin Syucaib bin cAli bin Sunan bin Bahar bin Dinar al-Khurasani al-Nasa'iy, namun sebahagian kitab lain tercatit namanya sebagai Ahmad bin cAli bin Syucaib. Kunyahnya ialah Abu cAbdul Rahman. Manakala al-Nasa'iy adalah dinisbahkan kepada Nasa iaitu tempat beliau dilahirkan. Beliau terkenal dengan nama al-Nasa'iy.

Kelahiran :
Beliau dilahirkan pada tahun 215 H bersamaan 839 Masihi di Nasa iaitu sebuah desa terkenal di Khurasan.

Sifat Fizikal:
Imam Nasa'iy disifatkan sebagai seorang yang tampan dan mukanya berseri-seri dan bercahaya.

Pendidikan


Beliau merupakan seorang yang luar biasa kecerdasan otaknya. Ini dapat dibuktikan ketika beliau masih kecil lagi beliau telah menunjukkan tanda-tanda luar biasa dan sangat mencintai ilmu pengetahuan. Beliau sering bertemu dan berbincang dengan ulama' yang agung yang sezaman dengannya walaupun usianya masih terlalu muda.

Ketika beliau berusia 15 tahun, beliau menjelajah dan mengembara ke serata daerah dan tempat untuk menimba ilmu pengetahuan dan untuk mempelajari berbagai ilmu pengetahuan daripadanya ulama' yang ada pada waktu itu. Antara daerah dan negeri yang pernah dijelajahi imam al-Nasa'iy ialah Hijaz, Iraq, Syam, Mesir dan Jazirah. Beliau juga telah mempelajari hadith daripada Qutaibah ibn Sacid iaitu seorang tokoh hadith yang terkenal dan al-Nasa'iy telah berguru dengan beliau selama setahun dua bulan.

Berkat usaha dan ketekunan serta anugerah kepintaran yang ada pada diri beliau, dalam usia yang masih muda beliau telah dapat menguasai hampir semua ilmu yang dipelajarinya tentang hadith dengan mendalam sehingga tentang sanadnya sekali.

Syekh-syekh Imam al-Nasa'iy

Antara guru-guru yang mengajar hadith kepada al-Nasa'iy ialah :

i. Ahmad ibn cAbdah
ii. Al-Harith ibn Miskin
iii. cAli ibn Hajar
iv. Hisyam ibn Ammar
v. Ibrahim Ibn Sacid al-Jauhari
vi. Isa ibn Rughbah
vii. Ishaq ibn Rahawaih
viii. Ishaq ibn Musa al-Anshari
ix. Qutaibah Ibn Sacid
x. Mahmud Ibn Ghailan

Murid-murid Imam al-Nasa'iy

Diantara mereka yang mengambil hadith daripada imam al-Nasa'iy terdiri daripada ulama' hadith yang terkenal dan banyak memberi sumbangan dalam pengajian hadith. Di antara mereka ialah :

i. Abu cAli Hasan al-Naisaburi
ii. Abu Bakar Ahmad bin Al-Sunni
iii. Abu Qasim al-Tabrani
iv. Ahmad ibn Umair ibn Juhsan
v. Hamzah bin Muhammad al-Katani
vi. Muhammad bin cAbdullah
vii. Muhammad ibnu Ja'far bin Qalas
viii. Muhammad ibn Harun ibn Syucaib

Ketinggian ilmu dan pengetahuan Imam al-Nasa'iy

Al-Nasa'iy mempunyai kebijaksanaan yang amat istimewa, ingatan yang kuat, ilmu yang banyak dan berpengetahuan luas. Beliau merupakan salah satu dari imam yang hafiz dan termasuk pakar ilmu agama Islam yang kenamaan. Beliau adalah tokoh ulama hadith yang ketinggian ilmunya telah diakui oleh rakan-rakan ahli hadithnya sehingga mereka kagum dan amat mempercayai dirayah dan kejujuran riwayatannya.

Di samping al-Nasa'iy mempunyai ilmu yang luas mengenai al-Hadith al-Sharif, beliau juga merupakan seorang ulama' di bidang ilmu Fiqh. Kesaksian al-Daru Qutni iaitu alim ulama mengatakan bahawa al-Nasa'iy merupakan ulama' yang paling menguasai bidang ilmu Fiqh di antara syeikh-syeikh Mesir di zamannya, beliau juga merupakan ulama' hadith terbesar.

Kesaksian Abu Sacid bin Yunus penulis kitab sejarah Mesir : “Imam al-Nasa'iy adalah seorang tokoh hadith yang dapat dipercayai, kuat ingatan dan hafalannya. Beliau tiba di Mesir dan bermukim di sana dalam waktu yang sama. Selama itu beliau banyak mencurahkan segala ilmunya kepada para pelajarnya, sehingga para pakar ilmu-ilmu agama mengakui ketinggian ilmu beliau.

Sifat terpuji Imam al-Nasa'iy

Imam al-Nasa'iy merupakan seorang yang berpandangan luas, lurus hujjahnya, jelas keterangannya, pintar dan cerdik otaknya dan kuat tubuhnya. Beliau sentiasa berhati-hati dalam memelihara dirinya terutama di dalam pemakanan, pemakaian, serta keseronokan. Beliau juga merupakan seorang imam hadith yang terkenal dengan ketakwaan dan kewarakannya dalam beribadat kepada Allah dan sentiasa beristiqamah dalam menunaikan tahajjud pada waktu malam.

Kerana ketakwaan dan kewarakannya, jika meriwayatkan suatu hadith, maka imam al-Nasa'iy akan menyebutkan: “telah dibacakan dan aku mendengarnya sedemikian”. Beliau tidak pernah mengatakan atau mengucapkan "haddathana atau akhbarana". Atau dengan kata lain “telah diberitahukan kepada kami”. Beliau juga sentiasa melakukan puasa sunat dan juga tidak pernah terlepas dari mengerjakan haji dan umrah pada setiap tahun.

Selain itu juga, beliau mempunyai tahap keberanian yang amat tinggi dalam segala gerak gerinya dan seorang yang pemurah. Beliau juga terkenal dengan sifat zuhud, di mana zuhud yang diamalkan oleh al-Nasa'iy merupakan zuhud yang amat memahami dan mendalami ilmu syariat serta hadith.

Di antara kezuhudan al-Nasa'iy ialah jihadnya terhadap nafsunya sendiri sehingga ia menjadikannya begitu mudah mengikut kehendaknya tanpa paksaan. Selain itu beliau juga suka menjauhkan diri dari segala kejahatan dan sentiasa mengelakkan majlis-majlis orang yang berpengaruh atau berkuasa. Dan yang menarik mengenai imam al-Nasa'iy ialah, beliau mempunyai empat orang isteri dan bersikap adil terhadap isteri-isterinya.

Hasil karya

Imam al-Nasa'iy telah mengarang beberapa buah kitab yang sangat bernilai dan bermanfaat bagi umat Islam. Di antara hasil-hasil karya Imam al-Nasa'iy ialah :

i. Kitab al-Sunan al-Kubra
ii. Kitab al-Sunan al-Mujtaba (Al-Mujtaba min al-Sunan al-Kubra)
iii. Kitab al-Dhucafa' wa al-Matrukin
iv. Kitab al-Tamyiz
v. Kitab al-Jarh wa al-Tacdil
vi. Musnad Malik
vii. Al-Manasik
viii. Al-Khasais Fadha'il al-Sahabah
ix. Al-Asma' wa al-Kunni
x. Macrifat al-Ukhuwah


Kewafatan

Beliau wafat pada bulan Syacaban tahun 303 Hijrah. Beliau wafat di satu tempat bernama al-Ramlah di Palestin. Ada riwayat lain pula mengatakan beliau wafat di Mekah dan dikuburkan di antara Safa dan Marwah. Tetapi menurut al-Dhahabi tempat sebenarnya ialah al-Ramlah.

Sebab kewafatan

Pada 302 Hijrah ketika Imam al-Nasa'iy datang dari Mesir ke kota Damshiq, pengikut Mucawiyah bertanya kepada beliau mengapa beliau lebih mengutamakan sahabat cAli r.a daripada Mucawiyah. Jawab beliau : cAli lebih afdhal dalam segala seginya dari Mucawiyah. Ketika mereka bertanya padanya tentang hadith yang mengatakan keutamaan Mucawiyah, maka Imam al-Nasa'iy berkata: aku tidak pernah mendengar adanya hadith tentang keutamaan Mucawiyah selain hadith yang mengatakan “la asyba’ Allahu bathnahu" (semoga Allah tidak pernah memberinya rasa kenyang diperutnya). Mendengar ucapan Imam al-Nasa'iy tersebut, maka penduduk negeri Syam menghalau beliau sehingga beliau dikeluarkan dari masjid dalam keadaan sakit parah. Kemudian beliau dipindahkan di kota al-Ramlah (Palestin), ditempat inilah beliau wafat.

Menurut al-Hafiz Abu Hasan Daru Qutni : “Setelah imam al-Nasa'iy mendapat musibah di kota Damshiq, maka beliau minta segera dipindahkan ke kota Mekah, apabila sampai ke kota Mekah, maka beliau wafat di kota tersebut. Semoga Allah selalu memberi keharuman nama beliau dan memberi balasan pahala serta rahmat yang berlimpah-limpah.


ISI KANDUNGAN KITAB

Secara umumnya sunan al-Nasa'iy mengandungi hadith-hadith dalam kategori berikut :
i. Sahih yang muttafaq calaiyh
ii. Sahih mengikut syarat syaikhayn atau salah satu daripada mereka.
iii. Sahih yang bukan syarat mereka berdua.
iv. Hadith yang lemah dengan dijelaskan kecacatannya. Ia diriwayatkan kerana ada pihak lain yang meriwayatkannya dan dijadikan hujjah, justeru disenaraikannya dengan penjelasan. Biasanya disebutkan dahulu hadith yang cillah (kecacatan) dan selepas itu disebut pula riwayat yang betul.

Kitab ini mempunyai empat buah dan di dalam setiap kitab mempunyai dua jilid.

Setiap jilid dimulai dengan basmalah dan pada jilid pertama didahului denganbasmalah dan muqaddimah pengarang.

Terdapat huraian atau syarah bagi hadith yang dilakukan oleh al-Suyuti dan al-Sindidan diletakkan di bahagian bawah hadith iaitu dibahagian nota kaki. Diletakkan syarah al-Suyuti terlebih dahulu kemudian barulah syarah al-Sindiy.

Pembahagian tajuk/kitab mengikut jilid dijelaskan seperti berikut :
i. Jilid pertama : Kitab Taharah sehingga kitab Mawakit
ii. Jilid kedua : Kitab Azan sehingga Kitab Iftitah
iii. Jilid ketiga : Kitab Tatbiq sehingga kitab Qiamulail
iv. Jilid keempat : Kitab Jana'iz dan kitab Siam
v. Jilid kelima : Kitab zakat dan Manasik Haji
vi. Jilid keenam : Kitab Jihad sehingga kitab Umra
vii. Jilid ketujuh : Kitab Aiman wa Nudhur sehingga kitab Buyuc
viii. Jilid kelapan : Kitab Qasam sehingga Kitab Asyribah

Terdapat fehres bagi setiap tajuk dan bab pada akhir setiap jilid.

Tajuk di dalam kitab ni disusun mengikut tajuk fiqh yang mengandungi 51 kitab dan padanya terbahagi pula bab kecil serta beberapa hadith sebagaimana berikut :

Bilangan kitab, bab dan hadith dalam Sunan al-Nasai

BIL NAMA KITAB BIL. BAB BIL. HADITH
1. كتاب الطهارة 204 325
2. كتاب المياة 13 23
3. كتاب الحيض والاستحاضة 26 47
4. كتاب الغسل والتيمم 30 53
5. كتاب الصلاة 24 46
6. كتاب المواقيت 55 132
7. كتاب الأذان 42 62
8. كتاب المساجد 46 54
9. كتاب القبلة 25 35
10. كتاب الإمامة 65 99
11. كتاب الإفتتاح 89 153
12. كتاب التطبيق 106 150
13. كتاب السهو 105 188
14. كتاب الجمعة 45 66
15. كتاب تقصير الصلاة فى السفر 5 26
16. كتاب الكسوف 25 45
17. كتاب الاستسقاء 18 25
18. كتاب صلاة الخوف 0 27
19. كتاب صلاة العيدين 36 42
20. كتاب قيام الليل وتطوع النهار 67 220
21. كتاب الجنائز 121 273
22. كتاب الصيام 85 345
23. كتاب الزكاة 100 183
24. كتاب مناسك الحج 231 467
25. كتاب الجهاد 48 111
26. كتاب النكاح 84 193
27. كتاب الطلاق 76 173
28. كتاب الخيل 17 33
29. كتاب الأحباس 4 17
30. كتاب الوصايا 12 61
31. كتاب النحل 1 16
32. كتاب الهبة 4 18
33. كتاب الرقبى 2 14

34. كتاب العمرى 5 42
35. كتاب الأيمان والنذور 50 179
36. كتاب عشرة النساء 4 27
37. كتاب تحريم الدم 29 167
38. كتاب القسم الفيء 0 16
39. كتاب البيعة 39 63
40. كتاب العقيقة 5 10
41. كتاب الفرع والعتيرة 11 41
42. كتاب الصيد والذبائح 38 98
43. كتاب الضحايا 44 88
44. كتاب البيوع 109 256
45. كتاب القسامة 49 164
46. كتاب قطع السارق 18 114
47. كتاب الإيمان وشرائعه 33 55
48. كتاب الزينة 123 338
49. كتاب آداب القضاة 37 49
50. كتاب الاستعاذة 65 112
51. كتاب الأشربة 58 220
JUMLAH KESELURUHAN 2528 5761


Bilangan hadith dalam sunan al-Nasa'iy

Ustaz al-Syeikh Abd al-Fattah Abu Ghuddah telah mentahqiq kitab sunan al-Mujtaba dan memberi nombor bagi hadith-hadithnya. Mengikut kiraan beliau, hadith yang dimuatkan dalam al-Mujtaba adalah 5761. Manakala jumlah hadith dalam sunan al-Kubra yang diterbitkan Dar al-Kutub Ilmiyyah,1992 sebanyak 11770 hadith.


Syeikh Nasir al-Din Albani dalam kitab Dacif Sunan al-Nasa'iy , 447 bilangan hadith yang pada penilaian beliau dikatogerikan sebagai hadith dacif.

Bil Jenis hadith Jumlah
1. Jumlah keseluruhan hadith 5761
2. Hadith sahih 5314
3. Hadith dacif 447


METODOLOGI KITAB


Secara keseluruhannya, metodologi atau kaedah yang digunakan dalam menghasilkan kitab sunan al-Nasa'y ni boleh dibahagikan kepada dua metodologi iaitu :

i. metodologi umum berkaitan dengan kitab ini
ii. metodologi khusus yang digunakan oleh imam al-Nasa'iy dalam penulisan hadithnya.

Metodologi umum

i. Dimulai dengan Basmalah pada permulaan tajuk pertama bagi setiap jilid.
ii. Meletakkan muqaddimah pada jilid pertama yang menjelaskan sedikit mengenai kitab asal sunan al-Nasai.
iii. Tajuk-tajuk pada kitab ini dikenali sebagai kitab
iv. Tajuk-tajuk dihitamkan dan dibesarkan saiz tulisannya.
v. Bab-bab juga dihitamkan tetapi lebih kecil saiznya untuk membezakan antara tajuk dan bab.
vi. Setiap hadith diletakkan baris
vii. Mempunyai nota kaki yang diletakkan syarah Imam al-Suyuti dan kemudiannya syarah imam al-Sindi.
viii. Tajuk disusun mengikut susunan tajuk fiqh.
ix. Di bahagian akhir setiap jilid terdapat fehres bagi tajuk dan bab.
x. Menggunakan tulisan khat nasakh pada keseluruhannya.

Metodologi khusus

Imam al-Nasa'iy telah menetapkan syarat-syarat dan metodologi tertentu di dalam penyusunan kitab sunannya. Antaranya ialah :

i. Hadith itu mestilah diriwayatkan daripada perawi yang berdasarkan kepada ijmak para fuqaha'.

ii. Dalam mengumpul dan mencatat hadith, imam Nasa'iy akan mencatat isnad yang berlainan bagi sesebuah hadith, kemudiannya beliau menjelaskan mana yang benar di antara isnad tersebut.

iii. Sekiranya terdapat sanad atau isnad yang tidak benar, imam Nasa'iy akan menjelaskan sebab dan punca kecacatannya. Oleh yang demikian, di dalam kitab Sunan al-Nasa'iy terdapat hadith sahih, hassan dan dacif. Walaupun kitab Sunan al-Nasa'iy terdapat hadith dacif, namun hanya sebahagian sahaja hadith dacif yang dikumpulkannya.

KOMENTAR PARA ULAMA TERHADAP SUNAN AL-NASA'IY

Sunan al-Nasa'iy merupakan sebuah kitab yang penting disebut juga dengan nama al-Mujtaba min sunan al-Kubra. Ulama' hadith telah memberikan pendapat mereka mengenai kitab Sunan al-Nasa'iy. Antaranya ialah :

Imam al-Subki berpendapat bahawa Imam al-Nasai adalah lebih banyak menghafal hadith berbanding imam Muslim. Sunannya menduduki tempat ketiga selepas Sahih Bukhariyy dan Sahih Muslim dari segi kurangnya bilangan hadith dacif.

Menurut Imam Abu cAbdullah ibn Rasyid pula, selepas Sahih al-Bukhari dansahih Muslim, kitab yang paling sedikit mengandungi hadith-hadith daif ialah Sunan al-Nasai, kemudian diikuti oleh Sunan Abi Daud, al-Tirmidhi dan akhirnya Sunan Ibn Majah.

Menurut imam Abu cAbdullah ibn Rasyid lagi sebagaimana yang dipetik oleh al-Kanwi, Sunan al-Nasai merupakan seindah-indah kitab yang telah disusun, iamengiringi al-Bukhari dan Muslim (dari segi kesahihannya). Jika terdapat hadithhadith yang cacat beliau akan menerangkan kecacatan yang terdapat dalam hadith itu."

Komentar al-Hafiz Abu cAli : “Pensyaratan yang dibuat imam al-Nasa'iy bagi para perawi hadith jauh lebih ketat dari pensyaratan yang dibuat oleh imamMuslim. Demikian pula al-Hakim dan al-Khatib berkata: “Sesungguhnya syarat yang dibuat oleh imam al-Nasa'iy lebih ketat dari pensyaratan imam Muslim. Imam al-Nasa'iy bermazhabkan mazhab Syafie dan beliau menulis buku petunjuk Manasik Haji sesuai dengan mazhab Syafie.

Komentar sebahagian pakar ilmu agama: “Sesungguhnya kitab Sunan al-Nasai adalah semulia-mulianya kitab dalam Islam belum ada sebuah kitab pun yang semisalnya"


KITAB SYARAH SUNAN AL-NASA'IY

Terdapat beberapa kitab syarah sunan al-Nasai selain daripada kitab syarah yang dibahaskan. Antaranya ialah :

i. Sunan al-Nasa'iy bisyarh al-Imamayn al-Suyuti wa al-Sindi
Kitab syarah ini merupakan usaha Imam al-Suyuti dan al-Sindi. Ia telah ditahqiq oleh tiga orang pentahqiq iaitu Dr. al-Sayyid Muhammad al-Sayyid, al-Ustaz cAli Muhammad cAli dan al-Ustaz Sayyid cImran. Manakala didhabitkan usulnya oleh Dr. Mustafa Muhammad al-Husin al-Dhahabi. Buku ini adalah terbitan Dar al-Hadith, Kaherah. Ia merupakan cetakannya yang pertama iaitu pada tahun 1999M. kulit buku ini berwarna hitam dan bertulisan emas pada tajuknya. Buku ini mempunyai 5 juzuk. Ia mempunyai indeks kandungan kitab iaitu pada juzuk kelima.

ii. Al-Faid al-Samai ala Sunan al-Nasai
Buku ini ditahqiq oleh Muhammad cAqil Mudarrisul, seorang guru hadith di Mazahir cUlum. Buku ini adalah terbitan Maktabah al-Khaililiyah al-Waqiah bi Jawar Mazahir cUlum Sahanfur, Bombay, India. Ciri-ciri fizikal bagi kulit buku ini ialah berwarna hitam dan bertulisan perak.

iii. Al-mujtaba al-Macaruf bi Sunan al-Nasa'iy syarhihi Zahr al-Zuba wa al-Sindi
Kitab syarah ini mempunyai kulit buku yang menarik dan sukar untuk dibaca dan keterangannya.




PENUTUP

Secara keseluruhannya dapatlah dirumuskan bahawa Imam al-Nasa'iy merupakan seorang ahli hadith dan juga al-Hafiz yang tinggi ilmunya sehingga diakui oleh ulama' besar mengenai ketinggian ilmu dan pengetahuannya dalam bidang hadith. Dengan berkat usahanya telah terhasilnya kitab sunan al-Nasa'iy yang pada mulanya dinamakan sunan al-Kubra. Dan akhirnya menjadi al-Mujtaba min sunan al-Kubra atau lebih dikenali sebagai sunan al-Nasa'iy.

Imam al-Nasa'iy juga meletakkan syarat yang lebih ketat berbanding pensyaratan yang dibuat oleh imam Muslim, maka ini menjadikan hadith yang terdapat dalam sunan al-Nasa'iy lebih banyak hadith sahih dan amatlah sedikitnya hadith dacif. Sekiranya terdapat hadith yang daif, beliau akan menerangkan kecacatan dalam hadith tersebut. Penyusunan dalam sunan al-nasai ini juga disusun mengikut tajuk-tajuk fiqh seperti kitab sunan yang lain.

Pengorbanan dan sumbangan yang beliau berikan kepada kita pada hari ini dalam bidang hadith amatlah besar dan tinggi sehingga kitab beliau iaitu Sunan al-Nasa'iy terkenal sehingga ke hari ini dan dijadikan sebagai rujukan dan kajian. Terdapat juga kitab beliau yang telah ditahqiq untuk dijadikan sebagai rujukan yang lebih jelas dan panduan kepada generasi hari ini dan akan datang.





RUJUKAN

Ali Yusuf Ali. 1989. Silsilah Ulama' Hadith. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara
Al-Suyuti & al-Sindi. 1999. Sunan al-Nasai bisyarhi al-Imamaini al-Suyuti wa al-Sindi. Al-Qaherah : Dar al-Hadith
Bey Arifin & Yunus Ali al-Muhdor. 1992. Tarjamah Sunan Nasa'iy. Kuala Lumpur: Penerbit Darul Fikir
Huda Mohsin. 1985. Pengenalan Kitab-kitab Hadith al-Sunan al-Sittah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Rosmawati Ali @ Mat Zin.1997. Pengantar cUlum Hadith. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd
Wan Nasyarudin Wan Abdullah, Ahamad Asmadi bin Sakat & Mohd. Akil Muhamed Ali. 2007. Prosiding Seminar al-Sunnah dan Isu-isu Semasa Peringkat Kebangsaan. Selangor : Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah UKM

Currently have 1 comments:

Leave a Reply

Post a Comment

KLIK UNTUK BERSEDEQAH